Categories
Kesihatan Lelaki Rumah Tangga

“ONANI´´ RISIKO HILANG KUALITI WAKTU BERSAMA

SEBELUM ini, saya membincangkan masalah ejakulasi pramatang dan ereksi. Minggu ini, saya mengetengahkan masalah cara onani yang diketahui keburukannya oleh lelaki dan perempuan tetapi masih melakukannya.

Kebanyakan laman yang menyebut mengena ionani menyatakan amalan itu normal untuk lelaki dan perempuan. Ia boleh dilakukan sekadar untuk melegakan tekanan.

Malangnya, penulis laman tidak menyatakan amalan itu berisiko mengakibatkan kerosakan kepada anggota kelamin atau membuatkan pengamalnya ketagih.

Memandangkan anggota kelamin itu mengandungi tisu lembut, tisu pengembang, otot lembut, urat saraf dan pembuluh darah, kemungkinan besar struktur itu cedera atau rosak fungsinya yang boleh membuatkan anggota itu tidak sempurna atau tidak berkualiti kemudian hari.

Kadangkala perasaan teruja yang amat sangat boleh membuatkan pengamalnya menyentap dan menekan anggota kelamin dengan kuat, sekaligus menyebabkan kecederaan dalaman.

Tisu dalaman boleh cedera lalu menjadi parut dan apabila parut mengeras, zakar boleh membengkok atau melengkung. Keadaan ini dikenali sebagai penyakit ‘Peyronie’ dan perubahan ini hanya kelihatan selepas beberapa bulan atau tahun.

Kesudahannya, seseorang itu akan mengalami masalah cepat klimaks kemudian hari. Jika amalan tidak sihat seperti ini diteruskan juga, dia akan gagal mengekalkan ereksi dan terpaksa merangsangnya untuk mengekalkan ketegangan, yang mana jika tidak dilakukanakan membuatkan ereksi hilang daya kekerasan. Ini kerap berlaku kepada lelaki yang sering melakukan onani.

Mereka tidak dapat mengekalkan ereksi ketika melakukan ‘foreplay’ dengan pasangan dan kesudahannya tidak dapat melakukan penembusan faraj.

Gunakan tenaga itu untuk membina badan dan kekuatan fizikal dan jadi lelaki yang berdaya tahan untuk masa depan lebih cemerlang. Jangan jadikan onani sebagai amalan kerana kesannya membawa kepada keburukan. Pastikan kesihatan seksual anda dalam kawalan anda.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan

Categories
Kesihatan Lelaki Rumah Tangga

SUAMI SELALU LETIH

SAYA ada menerima rintihan daripada seorang isteri yang mendedahkan perasaannya terhadap hubungan intim dengan suaminya, ingin saya nyatakan di sini bahawa masalah sebegitu kini banyak dialami oleh kebanyakan wanita yang sudah berkahwin.
Berdasarkan kepada rintihan wanita itu, dia nyatakan bahawa sudah berkahwin selama lima tahun dan mempunyai dua orang anak dan suaminya bekerja tidak tentu masa dan banyak menghabiskan masa di tempat kerja. Dakwanya rutin harian suaminya hanya tertumpu pada kerja dan apabila berada di rumah hanya lebih suka tidur serta tidak pernah beriadah atau bersenam.

Yang menjadi kebimbangannya adalah suami dia mempunyai tahap klimaks yang sangat cepat dan kurang bersemangat untuk ‘bersama’. Alasan yang sering diberi adalah penat dan apabila bersama, akan cepat ejakulasi walaupun cuma beberapa minit menjalinkan hubungan. Keadaan itu menyebabkannya kebingungan dan tidak puas hati dan ia jelas menunjukkan prestasi si suami tidak dapat memenuhi dan memberi kepuasan kepada si isteri. Situasi sedemikian seharusnya tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan penyelesaian segera.

Seperti juga yang saya katakan, masalah sebegini dihadapi ramai lagi isteri dan pelbagai cara dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian, sebilangan mereka cuba membincang dengan suami dan sebilangan suami mereka hanya mendiamkan diri saja dan ada juga suami yang cakap akan berubah tetapi tidak berbuat apa-apa.

Daripada rintihan isteri yang saya pernah dengar ialah sebilangan suami mereka menjauhkan diri apabila ditegur isteri mengenai kelemahan mereka, si suami bagai tertekan untuk melakukan hubungan intim kerana takut perkara yang sama berulang. Lebih-lebih lagi suami yang cepat klimaks. Kebanyakan lelaki yang mengalami masalah yang seperti didedahkan itu, mudah sangat untuk memberi alasan keletihan. Mereka enggan mengakui kesalahan mereka dan sepatutnya menjalani pemeriksaan doktor untuk mengetahui tahap kesihatan.

Jika mereka amalkan gaya hidup tidak sihat seperti tidak mengawal makanan atau tidak makan makanan seimbang, tidak menjaga berat badan, tidak melakukan senaman secara berkala, merokok dan minum minuman keras dan tidak mengurus tekanan, sudah tentu keadaan ini melemahkan tenaga batin dan syahwat mereka.
Lebih-lebih lagi jika mereka mengalami masalah kesihatan seperti peningkatan kolesterol dalam darah, tekanan darah, perubahan awal mengidap kencing manis atau penyakit koronari, sudah tentu masalah lemah tadi akan menjadi lebih ketara selagi masalah kesihatan itu tidak ditangani.

Perkara yang saya amat khuatir untuk suami yang sebegini ialah dalam keadaan terdesak mereka mencuba ubat kuat yang dijual secara langsung atau menjalani rawatan karut seperti urut dan makan jamu dan majun yang mungkin mengandungi ubat larangan atau menggunakan pam vakum tanpa rujukan doktor, apa yang terjadi bukan pemulihan, malah kesengsaraan yang menjejaskan kesihatan mereka.
Saya tidak tahu apa yang boleh disyorkan kepada pengadu, sebenarnya yang mengalami masalah ialah si suami dan dia tidak terfikir langsung yang masalahnya itu perlu rujukan doktor.

Dia juga perlu sedar yang perkara itu tidak akan hilang dengan mendiamkan diri saja. Dia perlu sedar yang dia ada tanggungjawab kepada anda dan anak dan apa yang dia buat itu hanya mensia-siakan dirinya dan keluarganya.

Saya harap semua lelaki yang membaca huraian ini terbuka hati untuk berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan menjalani rawatan moden dan yang selamat jika mereka mengalami masalah yang sama. Jangan cuba rawatan secara sendirian atau melalui iklan mengarut.

Dr Ismail Tambi
Pakar Kesihatan Reproduktif dan Seksual
Pakar Sakit Tuan